Wednesday, July 13, 2011

'' yang awak bagi dia main tepung tu kenapa?" Begitulah bunyi mesej yang baru kuterima daripada suami tercinta.Sedihnya aku...ingatkan suami akan menyebelahi aku bila diberitahu kejadian di rumah. Air mataku mula bergenang, entah mengapa hatiku begitu mudah terguris sedangkan bukannya perkara besar pun. Kalau orang tahu, aku digelakkan aje agaknya..... Lambat pula rojak yang kupesan siap. Pembeli di gerai tu tidaklah ramai sangat tapi seorang membeli 3 atau 4 bungkus. Bosan menunggu fikiranku melayang.Aku teringat peristiwa peperangan bersama anak-anak di rumah.

Manalah santan packet ni....desus hatiku. Aku menyelongkar tempat simpanan bahan-bahan masakan. Tiba-tiba anakku yang juga sibuk kat dapur ternampak tepung.

Balqis : Ummi...kakak nak tu...kakak nak tu.
Aku : Tak payah la kakak.
Balqis : Ala....kakak nak tu.

Bosan mendengar rengekannya aku bubuh sedikit tepung ke dalam mangkuk kecil lalu kuberi kepadanya. Eloklah dia bermain sebentar. Tiba-tiba dimintanya aku untuk tambah lagi tepung. Aku tidak melayan kerana sibuk memasak lagipun aku tahu natijahnya nanti. Balqis yang mulanya merengek-rengek nakkan tepung terus menangis meraung apabila permintaannya tidak dituruti. makin lama makin kuat bagaikan satu taman boleh mendengar jeritannya. Aku yang sememangnya sedang mengejar masa, nak cepat ke sekolah ni memang terasa amat geram. Rasa kemarahanku membuak-buak apabila anak tidak mahu mendengar kata. Tuhan sahajalah yang mengetahui perasaanku.

Dengan geramnya aku mencurah( betul ke mencurah?) tepung penuh mangkuk tadi. Balqis puas hati. Aku membiarkan saja dia buat apa yang dia suka. Makin dilayan makin lambat kerja aku nanti. Danial turut mengerjakan tepung tersebut dengan gembiranya. Teringat sewaktu si kecil itu menuangkan hampir sebotol minyak masak 5kg ke atas lantai dapur. Hampir 2 jam aku mengerjakan lantai dapur tu. Penatnya bagai orang kerja kat sawah ke ladang kelapa sawit..

Sedang aku sibuk membasuh pinggan, Balqis datang menunjukkan hasil kreatifnya kepadaku.

Balqis : Ummi...tengok ni, kakak buat buaya.... Ummi, tengoklah ni, kakak buat buaya.

Aku buat tak tahu saja tapi sempatlah kujeling hasil kerja tangan anankku itu. Balqis terus memanggil-manggilku supaya tengok tepung gandum yang sudah diulinya menjadi bentuk seakan buaya. Pandai juga anakku yang belum pun lagi genap 3 tahun tu. Hatiku mula berasa kesian pada Balqis kerana tidak melayannya tetapi kukeraskan jua hati ini untuk buat tidak tahu. Akhirnya Balqis mengambil tempat duduknya semula meneruskan pekerjaannya bersama adik yang tak kurang nakalnya itu.

Selesai masak satu pekerjaan baru menungguku. Membersihkan lantai yang melekit-lekit penuh dengan tepung. Sebelum itu dua beradik tu sudah pun menghias lantai dengan butiran nasi berkicap hasil sarapan pagi. Boleh dikatakan penuh satu dapur. Hmmmm... aku mengeluh panjang. Memang aku ni tak pandai mendidik anakku ke? Tapi mereka memang tak nak ikut apa yang aku suruh. Nak disuap taknak, nak juga makan sendiri. Bila makan sendiri begitulah jadinya.

Aku melihat jam di dinding. Boleh tak kalau balik sekolah nanti la baru mop? Aku bermonolog sambil bergegas keluar... Dengan pantasnya aku mula mengemas ruang tamu yang penuh dengan mainan Si Balqis dan Danial. Tilam-tilam kuatur rapi di tepi sofa bersama bantal-bantal dan teddy bear kakak. Sambil mengemas balqis sibuk di bilik air. Sibuk membersihkan dirinya yang penuh dengan tepung agaknya...fikirku. Tiba-tiba dia keluar dengan pakaian basah kuyup.Terus diambilnya susu dan baring di atas tilam. Aku menjadi semakin marah. (bersambung)

1 comment:

  1. Kesian ummi dikerjakan kakak ngan adik..
    Sabar la wahai hati ummi..
    Sambung la.. dah jadi funny n sad story ni.

    ReplyDelete